Friday 30 March 2012

Pengakap Laut Malaysia

Pengakap Laut adalah salah satu daripada cabang Pergerakan Pengakap sejak era awal penubuhannya. Pengasas Pergerakan Pengakap iaitu Lord Baden-Powell lahir dalam sebuah keluarga yang kaya dengan tradisi kelautan. Datuk di sebelah ibunya iaitu Laksamana William Henry Smyth adalah panglima tentera laut semasa Perang Nepoleon dan merupakan seorang ahli hidrografi dan astronomi yang masyhur. Abang beliau, Warington Baden Powell pula adalah seorang pelaut komersil dan pengasas pelayaran keno. Warington kemudiannya telah diamanahkan oleh Lord Baden-Powell untuk mengasaskan Pengakap Laut.

Perkhemahan percubaan pertama di Pulau Brownsea pada 1907 menunjukkan bahawa elemen kelautan adalah amat dipentingkan dalam Pengakap. Lencana “Seaman” telah dijadikan sebagai salah satu daripada lima lencana terawal yang diperkenalkan oleh Pergerakan Pengakap. Lanjutan daripada itu, Warington Baden Powell telah menggariskan konsep Pengakap Laut di dalam sebuah Kursus Pemimpin Pengakap di London pada Januari 1911. Sejak detik tersebut,Pengakap Laut telah berkembang ke seluruh dunia terutamanya di negara-negara yang mempunyai perairan termasuklah di Malaya dan Borneo.

Sejarah Malaysia merekodkan bahawa Pengakap Laut telah bertapak sejak sekian lama di negara ini dan terbabit secara aktif dalam sambutan pengisytiharan kemerdekaan negarapada Ogos 1957. Dengan kedudukan geografi Malaysia yang dikelilingi perairan dan pelbagai kemudahan maritim yang terdapat di negara kita pada masa ini, pelbagai aktiviti dan latihan kelautan yang berfaedah dan menyeronokkan boleh dianjurkan dari semasa ke semasa.

Selaras dengan konsep kepengakapan yang menggalakkan golongan muda mempelajari
pelbagai perkara, Pengakap Laut Malaysia turut membuka ruang yang amat luas untuk
meneroka pelbagai bidang baru yang mencabar, menyeronokkan dan berkait rapat dengan
kehidupan sebagai seorang pelaut dan ahli Pengakap Laut. Ini akan dapat mengelakkan
golongan muda daripada terjebak dalam kancah gejala sosial yang kian meruncing di negara kita dan menyediakan ahli-ahli untuk melangkah ke alam dewasa sebagai seorang individu yang berkualiti dan berkemahiran

No comments:

Post a Comment